PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, tampil menafikan dakwaan yang dibuat oleh Iswardy Morni dalam sebuah podcast bertarikh 26 Julai yang mendakwa kononnya permohonan beliau untuk kembali menyertai PKR telah ditolak oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.
Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik di media sosial, Tian Chua menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu pembohongan dan menuntut agar Iswardy menghentikan penyebaran maklumat palsu.
“Saya tidak pasti apa motif dia menyebar pembohongan tersebut.
“Sejak dipecat, saya tidak pernah nyatakan berhasrat kembali aktif dalam kegiatan kepartian,” katanya.
Tian Chua berkata, fokus beliau kini adalah terhadap isu kemanusiaan khususnya krisis yang melanda Palestin dan bukan lagi politik kepartian.
“Saya selesa dengan peranan sebagai aktivis yang bebas daripada kurungan partisen.
“Ini adalah personalitas ‘original’ saya dan yakin ia lebih berkesan untuk menggabungkan tenaga rakyat merentasi batasan ideologi dan kelompok,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan komitmen terhadap kebebasan bersuara dan menghormati pelbagai platform termasuk podcast, walaupun ada yang disifatkan sebagai ‘mengarut’.
“Saya menghormati semua podcast demi meraikan perbedaan pandangan, walau wujud setengah-tengahnya memang mengarut,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Tian Chua mengingatkan Iswardy agar tidak mengheret beliau ke dalam ‘permainan politik konyol’.
Kenyataan ini hadir di tengah-tengah spekulasi berterusan mengenai kedudukan bekas pemimpin PKR itu selepas beliau dipecat daripada parti pada awal tahun lalu.








