PETALING JAYA: Pengerusi merangkap Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik menggesa kerajaan Malaysia agar berhati-hati dalam menyatakan pendirian terhadap ‘Deklarasi New York’ yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Julai lalu.
Deklarasi tersebut mencadangkan pelaksanaan penyelesaian dua negara (Two-State Solution) sebagai jalan keluar konflik Israel-Palestin, termasuk syarat utama yang menggesa Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa di Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
“Malaysia harus kekal menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat seperti digariskan dalam Resolusi PBB 242 (1967),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Dr Maszlee, kegagalan pelaksanaan penyelesaian dua negara bukan berpunca daripada rakyat Palestin tetapi akibat keengganan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Meletakkan syarat hanya kepada Hamas tanpa mewajibkan Israel tunduk kepada sebarang komitmen adalah tindakan tidak seimbang dan tidak adil,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa peralihan kuasa di Gaza seharusnya dilakukan melalui pilihan raya bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa, bukan ditentukan oleh kuasa luar.
“Peralihan kuasa di Gaza sepatutnya dilakukan melalui pilihan raya bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa, bukan ditentukan oleh kuasa luar,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendirian rasmi Malaysia terhadap deklarasi tersebut harus berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia serta mengambil kira sentimen rakyat tempatan.
Deklarasi New York mencetuskan perdebatan susulan beberapa klausa yang dilihat berat sebelah terhadap Palestin, sedangkan Malaysia sebelum ini konsisten menyokong hak Palestin untuk menentukan masa depan mereka tanpa tekanan luar.








