Cakra Khan pukau peminat dengan lagu bunyi gitar

Oleh: Tyah Helmi

PENYANYI bersuara serak basah dari Indonesia, Cakra Khan, berjaya memukau hampir 3,000 peminat yang hadir ke konsert solonya, Divide Concert Cakra Khan yang berlangsung penuh emosi, magis dan teruja di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Sabtu lalu.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menyaksikan Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman mempersembahkan sebanyak 26 lagu dengan penuh penghayatan sebagai penutup sebelum beliau mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia persembahan.

Tirai persembahan mula dibuka tepat pukul 8.45 malam dengan lagu “Setelah Kau Tiada”, diikuti “Persinggahan” dan “Mencari Cinta Sejati”, sebelum beliau menyapa peminat dengan ucapan tulus

“Berdiri di pentas ini mendebarkan, saya takut terlupa lirik, tapi malam ini saya beruntung kerana ada kalian semua,” katanya.

Persembahan kemudian diteruskan dengan iringan lebih 10 pemuzik profesional termasuk pemain biola, selo, saksofon, keyboard, gitar, bes, trompet dan dram.

Serta diiringi dengan penyanyi ‘falsetto’ di belakang tabir yang memalarkan lagi suara serak basah beliau.

Antara lagu yang dinyanyikan termasuk “Kau Memilih Dia”, “Salah Tapi Baik”, “Nanti”, “Tak Sejalan”, “Take The Pain” dan “Cahaya”.

Cakra turut menghangatkan pentas dengan kemunculan lima penyanyi jemputan iaitu Trio XL, Titi DJ, Faisal Lubis, Marsha Milan dan Ade Govinda, yang mencetus pelbagai elemen variasi irama muzik serta kemeriahan dalam persembahan malam tersebut.

“Saya jemput Trio XL untuk sama-sama menyanyi lagu “Rindu Tak Bersuara”’mereka mempunyai asas klasikal yang sangat hebat,” tambahnya.

Antara momen paling menyentuh hati dalam konsert tersebut adalah apabila Cakra mengimbas kembali kenangan bersama arwah bapanya, Hermana, yang merupakan penguat dan sumber inspirasi utama dalam kerjaya beliau sebelum meninggal dunia akibat angin ahmar pada tahun 2020.

“Tapi sayangnya, arwah ayah tidak sempat hadir di konsert pertama saya di sini.

“Setiap persembahan yang saya buat hari ini dedikasi untuk ayah dan semua yang menyokong saya sejak awal,” ujarnya lagi.

Konsert turut dimeriahkan dengan aksi mesra peminat apabila Cakra turun ke lantai dewan sambil menyanyikan lagu-lagu rancak seperti “Treasure”, “Never Felt So Good” dan “September”, sekali gus mencipta momen manis bersama penonton.

Sorakan makin bergema apabila beliau menyanyikan lagu malar segar “Bunyi Gitar” nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya suka dengan lagu-lagu P. Ramlee dan juga mengidolakannya.

“Semoga pada masa akan datang, saya boleh nyanyi banyak lagi lagu Allahyarham,” kata Cakra.

Bagaimanapun, suasana bertukar hening apabila Cakra mengumumkan bahawa konsert tersebut adalah penampilan terakhir beliau untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan, bagi memberi tumpuan terhadap penghasilan karya baharu.

“Terima kasih atas sokongan hebat yang kalian berikan kepada saya setiap kali membuat persembahan di sini.

“Sebenarnya, selepas ini saya ambil keputusan untuk berehat, untuk fokus cipta karya seterusnya,”

“Sudah tiga tahun berturut-turut saya mengadakan konsert di Malaysia,” katanya dalam nada sedih.

Ketika itu, dia mengakhiri konsert dengan lagu yang melonjakkan namanya, “Harus Terpisah”, dan sebuah lagu istimewa, “I Will Always Love You”, nyanyian asal Whitney Houston, yang disampaikan dengan vokal penuh emosi dan penghayatan mendalam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat