PETALING JAYA: Malaysia melakar satu lagi detik bersejarah apabila menerima kunjungan tetamu kehormat dari Tanah Suci, T.Y.T Shaikh Dr Salah Muhammad Al-Budair, Imam Masjid an-Nabawi, Madinah al-Munawwarah.
Kehadiran beliau adalah bersempena The World Quran Symposium 2025.
Dalam satu hantaran di Facebook, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas kunjungan ulama terkemuka itu.
“Selamat Datang ke Malaysia dan Ahlan Wa Sahlan diucapkan kepada T.Y.T. Shaikh Dr. Salah bin Muhammad Al-Budair, Imam Masjid an-Nabawi, Madinah al-Munawwarah.
“Malaysia amat berbesar hati menyambut kehadiran ulama terkemuka dari Tanah Suci bersempena The World Quran Symposium 2025,” kata JAKIM.
Kehadiran Shaikh Dr Salah bukan sahaja memperkukuh hubungan spiritual antara Malaysia dan Tanah Suci, malah menjadi simbol penghormatan tertinggi kepada Al-Quran dan ilmu-ilmu wahyu.
JAKIM berkata, beliau dijadualkan menyampaikan syarahan dan menyertai majlis-majlis ilmu yang bakal menyuburkan hati dan menyinari jiwa umat Islam.
“Menjadi tuan rumah kepada tetamu kehormat Al-Quran merupakan satu nikmat yang amat bererti dan penghormatan yang tinggi buat seluruh rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
Program itu dijangka menarik penyertaan ribuan pencinta Al-Quran dari dalam dan luar negara, menjadikan Malaysia sebagai medan penghayatan dan kecintaan terhadap kitab suci ini di persada antarabangsa.
“Ayuh, bersama kita raikan kehadiran beliau dalam majlis-majlis ilmu dan syarahan yang bakal menyuburkan hati, menyinari jiwa.
“Moga kehadiran beliau (Shaikh Dr Salah) menjadi pencetus semangat, menyemarakkan lagi kecintaan dan penghayatan terhadap Al-Quran di persada antarabangsa,” katanya.
JAKIM turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil peluang menyertai program-program yang diadakan sepanjang simposium ini sebagai tanda penghormatan dan kecintaan terhadap ilmu dan Al-Quran.