‘Creamy Prawn Pasta’ air tangan terakhir Che Nom

Oleh: Aliyaa Azmi

PERSONALITI masakan terkenal, Che Nom, mengumumkan bahawa hari ini merupakan detik terakhir beliau memuat naik video kandungan berjenama di laman sosial, sekali gus menandakan penamat fasa panjangnya sebagai pencipta kandungan digital berbayar.

Dalam hantaran terbarunya di Facebook, Che Nom menjelaskan keputusan itu bukan dibuat atas dasar kecewa, tetapi sebagai langkah penutup yang penuh makna buat perjalanan karier digitalnya.

“Bukan sebab kecewa, tapi sebab satu fasa dah pun sampai ke penghujungnya. Cukuplah yang ini jadi penutup yang manis,” katanya ringkas.

Sebagai simbolik penamat, Che Nom turut berkongsi bahawa video terakhirnya menampilkan resipi kegemaran anaknya, ‘Creamy Prawn Pasta’, sebagai menu terakhir kandungan berjenama yang dimuat naik.

Terdahulu, Che Nom dilaporkan memilih untuk mengundurkan diri daripada dunia penciptaan kandungan selepas lebih satu dekad aktif menghasilkan video masakan, susulan kekecewaan terhadap isu pencurian kandungan oleh pengguna TikTok lain.

Sejak memulakan saluran YouTube pada 2011, Che Nom berjaya mengumpul lebih 2.34 juta pelanggan dan menghasilkan 559 video resipi, merangkumi pelbagai jenis masakan tempatan serta antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akaun Facebook dan platform digital miliknya akan kekal aktif, tetapi hanya akan memaparkan kandungan bersifat lebih peribadi dan santai tanpa sebarang penajaan.

“Yang terakhir, tapi penuh makna,” tulisnya sebagai penutup hantaran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat