KUALA LUMPUR: Budaya samseng atau hooliganisme tidak boleh dibiarkan berakar dalam dunia sukan negara kerana ia bertentangan dengan nilai murni masyarakat Malaysia, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah pembinaan Rumah Olimpik di Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Anwar berkata, semangat kesukanan seharusnya menjadi wadah penyatuan rakyat, bukan medan perpecahan.
“Kita tidak boleh bawa masuk budaya hooliganisme dalam sukan seperti yang kita lihat di luar negara.
“Kita perlu ada lebih banyak toleransi. Ini semua bertentangan dengan semangat sebenar sukan menyatukan rakyat, menghormati perbezaan dan menyemai nilai positif,” katanya.
Beliau turut menyifatkan budaya negatif itu sebagai bercanggah dengan adab, kesopanan dan toleransi yang menjadi teras masyarakat Malaysia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif; serta wakil rasmi Majlis Olimpik Antarabangsa, Khunying Patama Leeswadtrakul.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang OCA, Abraham ‘Bambol’ Tolentino dan Presiden NOC Laos, Prof Madya Dr Phout Simmalavong.
Rumah Olimpik bakal dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di atas tanah seluas 5.38 ekar, dengan keluasan lantai kasar mencecah 140,973 kaki persegi.
Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat baharu MOM dan menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung.
Kemudahan moden seperti auditorium, gimnasium, pusat sumber, galeri, muzium, surau dan kafe akan turut disediakan bagi menyokong ekosistem sukan yang lebih holistik dan inklusif.
Dalam nada berseloroh namun tegas, Anwar turut mengingatkan MRCB agar menyiapkan projek tersebut lebih awal daripada jadual.
“Pastikan pembinaan bukan sekadar ikut jadual, tetapi lebih awal daripada jadual,” katanya sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong agenda pembangunan sukan negara.







