SUNGAI TENGI: Malaysia melangkah setapak lagi dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara apabila Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘Ehsan Dairy Farm’ disempurnakan di Ladang PKPS Sungai Tengi, Selangor.
Majlis bersejarah itu turut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menandakan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa industri tenusu tempatan.
“Insya-Allah, apabila siap kelak, ladang ini akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia dengan sasaran penghasilan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun.
“Usaha ini sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import produk tenusu yang kini mencecah 94 peratus bagi memenuhi keperluan domestik,” kata Ahmad Zahid.
Menurut beliau, projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar dalam negara, malah dijangka membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.
“Bagi saya, projek ini membawa nilai yang lebih besar dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu.
“Saya juga mencadangkan agar ia menjadi platform TVET pertanian moden untuk melatih anak muda dalam pengurusan ladang pintar, teknologi penternakan dan pemprosesan produk tenusu,” katanya.
Dengan sokongan strategik daripada pelbagai pihak termasuk agensi pelaksana, Ehsan Dairy Farm dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh ekonomi desa dan masa depan industri tenusu negara.
“Dengan sokongan strategik Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana, saya yakin Ehsan Dairy Farm akan menjadi legasi yang memberi manfaat besar kepada rakyat sekali gus memperkukuh ekonomi desa serta masa depan industri tenusu negara. Insya-Allah,” tambahnya.








