Lawatan Menteri Luar Senegal Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia–Afrika

PUTRAJAYA: Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Negeri Republik Senegal, Yassine Fall, memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini, sebagai tanda balas kepada kunjungan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada tahun 2024.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala yang semakin erat antara Malaysia dan Senegal serta membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.

Sepanjang lawatan, Yassine dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Mohamad Hasan.

“Kedua-dua menteri dijangka menilai kemajuan kerjasama sedia ada dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal dan pembangunan kapasiti.

“Mereka juga akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan semasa di Timur Tengah dan Afrika Barat.

“Lawatan ini melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan strategik dan membuka peluang kerjasama baharu,” kata Kementerian Luar Negeri.

Selain pertemuan dengan pemimpin utama negara, Yassine turut dijadualkan bertemu Menteri Perladangan dan Komoditi, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama.

Pertemuan ini dijangka membuka lebih banyak ruang dialog dan kerjasama rentas sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Malaysia dan Senegal telah menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1986, dengan hubungan yang mesra dan konstruktif melalui pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM1.37 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, nilai perdagangan direkodkan sebanyak RM789.20 juta.

Anda Mungkin Berminat