PETALING JAYA: Tindakan Ahli Parlimen (MP) Pendang, Datuk Awang Hashim mencabar wakil rakyat lain bertumbuk dalam Dewan Rakyat sehingga digantung selama 10 hari disifatkan sebagai episod paling memalukan buat rakyat Kedah.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, Dewan Rakyat bukan gelanggang samseng, tinju atau tomoi, sebaliknya medan berhujah dan membina dasar demi kepentingan rakyat.
“Malangnya, MP Pendang (Awang) memilih menjadi badut politik yang hanya tahu berlagak gagah apabila tiada hujah di dada.
“Pengundi pilih wakil untuk masuk Parlimen, bukan gelanggang tinju,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mahfuz, tindakan tidak berakhlak itu bukan sahaja menjatuhkan maruah MP berkenaan, malah turut mencalar imej rakyat Kedah serta nama baik Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah.
“Rakyat Kedah terkenal dengan sopan santun dan akal budi tetapi imej itu dicalarkan oleh seorang wakil yang gagal mengawal emosi dan bertindak sebagai pembuli politik,” ujarnya.
Beliau berkata, negeri Kedah tidak memerlukan gangster politik, sebaliknya memerlukan wakil rakyat yang berwibawa, beretika dan mampu menjaga maruah institusi Parlimen.
“Rakyat Kedah wajar menilai, adakah ini contoh pemimpin yang mahu mereka banggakan?
“Bagaimana mahu wujudkan dasar membanteras buli dalam kalangan pelajar jika Ahli Parlimen sendiri berlagak seperti pembuli,” katanya lagi.
Insiden tersebut berlaku selepas pertikaman lidah antara MP Pendang dan wakil rakyat kerajaan, sebelum beliau mencabar bertumbuk dan akhirnya digantung selama 10 hari atas dakwaan menghina dewan.