KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan tindakan penggantungan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary daripada menghadiri Dewan Rakyat selama dua hari tidak wajar dikaitkan dengan isu agama.
Beliau yang turut berada di dalam Dewan Rakyat ketika insiden itu berkata, keputusan Timbalan Speaker, Alice Lau dibuat selepas Ahmad Marzuk berulang kali enggan mematuhi arahan walaupun amaran telah diberikan.
“Ketika itu masa perbahasan semakin suntuk dan Timbalan Speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) untuk menutup sesi soalan. Namun, YB Pengkalan Chepa tetap bertegang lidah dengan Menteri Agama dan mengabaikan arahan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syahredzan, selepas diberikan peluang untuk “berehat sekejap” dengan diarahkan keluar selama setengah jam, Ahmad Marzuk masih terus berucap tanpa kebenaran sehingga akhirnya digantung dua hari.
Mengulas kenyataan ADUN Manjoi merangkap Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Hafez Sabri yang mendakwa penggantungan itu mempunyai kaitan dengan agama, Syahredzan menyifatkan ia cubaan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
“Keputusan penggantungan tiada kena mengena dengan parti mahupun agama Timbalan Speaker. Malangnya, pemimpin PAS seperti Mohd Hafez masih memilih memainkan sentimen kaum dan agama,” katanya.
Syahredzan turut mendakwa tindakan PAS itu bercanggah dengan rekod mereka ketika berkuasa, apabila sebanyak 23 syarikat bukan bumiputera pernah diberikan kontrak oleh Tabung Haji.
Beliau menegaskan, sebagai pemimpin muda, Mohd Hafez sepatutnya membawa pendekatan politik baharu yang lebih segar dan matang, bukannya meneruskan politik lama yang berasaskan perkauman dan sentimen sempit.
Baca juga: