MOSTI Perluas Program Sains Ke Pedalaman Sabah, Sarawak

PARLIMEN | Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh komitmen merakyatkan sains dengan memperluas pelaksanaan Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics ke kawasan pedalaman dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pelajar di kawasan terpencil tidak tercicir daripada peluang membangunkan bakat dan minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“MOSTI telah merancang beberapa strategi bersasar untuk memperluas capaian program ke kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Antaranya ialah pendekatan program outreach, kerjasama strategik dengan agensi tempatan, serta penggunaan format hibrid dan mudah alih,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, MOSTI turut menawarkan modul pertandingan dan latihan asas secara dalam talian, bagi memastikan akses tetap tersedia walaupun di kawasan yang mempunyai infrastruktur digital terhad.

Selain itu katanya, pendekatan ‘outreach’ akan memberi keutamaan kepada daerah terpencil melalui latihan guru dan fasilitator luar bandar.

Lih Kang berkata, fokus utama ialah membimbing pelajar dalam bidang robotik, pengaturcaraan, reka bentuk produk dan inovasi.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, kita yakin generasi muda luar bandar juga mampu menyumbang kepada ekosistem inovasi negara,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada inisiatif MSN 2025, MOSTI telah menganjurkan Kembara Sains Borneo yang menjelajah ke 33 lokasi, iaitu 19 di Sabah dan 14 di Sarawak termasuk sekolah-sekolah di kawasan terpencil seperti Kota Samarahan dan Lahad Datu.

Program ini membawa pameran interaktif dan aktiviti sains terus ke lapangan melalui bas pameran bergerak PSN Trooperz On The Move, yang dilengkapi dengan 14 bahan pameran menarik untuk pelajar dan guru.

Lebih 20,000 peserta telah menyertai siri jelajah ini, membuktikan sambutan luar biasa dan kehausan ilmu di kalangan masyarakat luar bandar.

Anda Mungkin Berminat