PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan kononnya seramai 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia akan diberikan Graduate Pass untuk membolehkan mereka bekerja di negara ini.
Beliau menegaskan tuduhan berkenaan, yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah, tidak berasas sama sekali.
“Hanya berdasarkan laporan akhbar di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya bersetuju mempertimbangkan Graduate Pass kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di Putrajaya. Tuduhan itu sama sekali tidak benar,” katanya, memetik Bernama pada Sabtu.
Menurut Zambry, semasa lawatan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus baru-baru ini, tiada sebarang memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima pelajar Bangladesh bekerja di sini.
Beliau menyifatkan kenyataan Haim Hilman bahawa rakyat kononnya resah kerana wujud perjanjian sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
“Sebagai seorang berlatar belakang akademik, beliau sepatutnya membuat kenyataan berdasarkan fakta sahih, bukan spekulasi.
“Prinsip akademik menuntut kepada maklumat berintegriti, tepat dan benar. Saya menegaskan agar beliau tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat salah. Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang tidak tepat perlu dihentikan segera,” tegasnya.
Terdahulu, Haim Hilman membuat dakwaan itu ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis, sebelum rakaman ucapannya dimuat naik ke akaun TikTok miliknya.
Baca juga: