AEBF 2025 Kukuh Peranan Malaysia Sebagai Hab Tenaga Bersih Serantau

PARLIMEN | Malaysia bersedia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pelaburan tenaga bersih di Asia Tenggara menerusi penganjuran Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, forum itu bakal menjadi pemangkin penting dalam mempercepatkan integrasi tenaga serantau, pembiayaan lestari serta peralihan tenaga yang adil dan inklusif.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menjadikan AEBF medan perkongsian strategik merentas sempadan, bukan sekadar dari aspek dasar dan teknologi tetapi juga pelaburan dan rantaian nilai serantau,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad yang ingin mengetahui strategi kementerian dalam menjadikan AEBF sebagai pemangkin pelaburan hijau berimpak tinggi.

Akmal berkata, Malaysia dijangka mengetengahkan pelbagai peluang pelaburan dalam bidang tenaga boleh baharu, hidrogen, teknologi rendah karbon, grid pintar dan sistem penyimpanan tenaga sepanjang forum tersebut.

Bertemakan ‘Memperkasa ASEAN, Merapatkan Sempadan, Membina Kemakmuran’, AEBF 2025 dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi termasuk pemegang taruh serantau, rakan dialog dan badan tenaga antarabangsa.

Akmal turut berkata, AEBF mampu mempercepatkan usaha mewujudkan grid tenaga ASEAN, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di seluruh rantau.

Tambah beliau, forum ini juga berperanan penting dalam memperluas penggunaan tenaga boleh baharu secara bersepadu di Asia Tenggara, seiring dengan matlamat pembangunan mampan dan neutral karbon.

Anda Mungkin Berminat