PETALING JAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan bah yang melanda pada petang Isnin sehingga menyebabkan bumbung beberapa bangunan tercabut dan serpihan bertebaran di kawasan sekolah.
Susulan kejadian itu, lebih 200 murid akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sementara kerja baik pulih dijalankan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memberi jaminan bahawa kerja baik pulih akan dimulakan segera dengan peruntukan sebanyak RM370,000, demi keselamatan dan keselesaan murid serta warga sekolah.
“Saya telah menerima laporan kerosakan SK Seri Perlis akibat kejadian ribut petang semalam yang menjejaskan bahagian bumbung beberapa bangunan yang menempatkan bilik darjah dan kemudahan lain serta sistem pendawaian elektrik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada hari Selasa, bergantung kepada keadaan cuaca.
Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan bumbung sekolah tercabut dan diterbangkan angin kuat, dengan serpihan jatuh di sekitar kawasan sekolah.
Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan murid, guru atau kakitangan sekolah.
Kementerian Pendidikan bertindak pantas dengan menerima laporan segera dan menggerakkan pasukan teknikal untuk menilai kerosakan serta merancang pemulihan.