ECRL Siap Fasa Pertama Januari 2027, Kemajuan Capai 85 Peratus

TIANJIN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada pada tahap 85 peratus siap setakat Julai 2025, dengan kerajaan optimis fasa pertama projek itu akan dapat disiapkan menjelang Januari 2027.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kejayaan menembusi Terowong Genting yang merupakan terowong rel terpanjang di Asia Tenggara pada Julai lalu menandakan satu pencapaian penting bagi projek infrastruktur mega tersebut.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan tetapi pemangkin ekonomi bagi Pantai Timur.

Melalui Economic Accelerator Projects (EAP), kerajaan merancang menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan hab logistik dan taman perindustrian baharu di sepanjang laluan rel itu.

“ECRL akan memudahkan pergerakan, menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Insya-Allah, kita akan terus pantau dan pastikan projek ini memberi manfaat maksimum kepada negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Projek ECRL dijangka menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang sekali gus mengurangkan masa perjalanan secara signifikan berbanding laluan darat sedia ada.

Anda Mungkin Berminat