Nga Kor Ming Salur RM250,000 Kepada Lima Sekolah Di Teluk Intan

TELUK INTAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM250,000 kepada lima sekolah di Teluk Intan bagi tujuan menaik taraf dan membaik pulih kemudahan infrastruktur.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), peruntukan tersebut disalurkan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa buat murid.

Lima sekolah yang menerima sumbangan itu ialah Sekolah Kebangsaan Seri Intan, SMK Seri Setia, SJK(C) San Min 1, SJK(C) San Min 2 dan SJK(C) Batu Dua Belas dengan setiap sekolah menerima RM50,000.

Inisiatif berkenaan diumumkan sempena lawatan kerja Sentuhan Ramadan yang dijangka memberi manfaat langsung kepada ratusan murid dan guru di sekitar Teluk Intan.

Dalam lawatan tersebut, Nga yang hadir bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, turut meninjau fasiliti di SK Seri Intan bagi melihat sendiri keadaan persekitaran pembelajaran selain menyampaikan peruntukan kepada pihak sekolah.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan tiada sekolah terpinggir daripada menerima kemudahan asas yang sempurna.

“Melalui peruntukan tambahan ini, kita berharap ia dapat menyuntik semangat baharu kepada murid-murid untuk menimba ilmu dalam suasana yang lebih baik,” katanya.

Anda Mungkin Berminat