PUTRAJAYA: Segmen huluan minyak dan gas asli negara pada suku kedua 2025 menunjukkan tanda pemulihan dengan pengeluaran minyak mentah dan kondensat direkodkan sebanyak 45.2 juta tong, manakala gas asli pula 640.9 bilion kaki padu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi lebih baik itu disokong oleh pemulihan dalam pengeluaran minyak mentah yang merekodkan penurunan kecil 2.2 peratus berbanding 6.5 peratus pada suku pertama. Kondensat juga lebih stabil dengan penurunan 1.2 peratus berbanding 2.4 peratus sebelumnya.
“Bagaimanapun, pengeluaran gas asli mencatatkan penyusutan 8.0 peratus tahun ke tahun dengan jumlah 640.9 bilion kaki padu, lebih rendah daripada 781.9 bilion kaki padu pada suku pertama 2025.
“Dari segi harga, Purata Lifting Berpemberat (WALP) minyak mentah dan kondensat menurun kepada RM297.83 bilion per tong berbanding RM323.21 bilion pada suku sebelumnya selaras dengan harga global apabila Brent dan WTI juga merekodkan kejatuhan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nilai eksport petroleum mentah dan kondensat dicatatkan RM6.3 bilion dengan Australia, Thailand dan Jepun sebagai pasaran utama. Eksport keluaran petroleum bertapis pula menurun kepada RM22.7 bilion, manakala eksport LNG turut merosot kepada RM10.4 bilion.
Sementara itu, import petroleum mentah dan kondensat bernilai RM12.9 bilion, dengan Arab Saudi kekal sebagai penyumbang terbesar. Import keluaran bertapis merekodkan RM22 bilion, manakala import LNG sebanyak RM1.5 bilion, majoritinya dari Australia.
“Prestasi ini menunjukkan ketahanan sektor minyak dan gas meskipun berdepan turun naik harga global. Malaysia akan terus memperkukuh data statistik untuk menyokong perancangan ekonomi negara,” kata Mohd Uzir dalam kenyataan.
Untuk rekod, Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain. Pencapaian ini selari dengan usaha Jabatan Perangkaan (DOSM) memperkukuh keterbukaan data, termasuk menerusi platform OpenDOSM NextGen.
Baca juga: