PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung dakwaan menyekat salinan titah adendum pengampunan diraja.
Memetik laporan media tempatan, keputusan itu diumumkan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching yang memaklumkan bahawa permohonan tersebut difailkan terlalu lewat, iaitu setahun selepas Jabatan Peguam Negara menentang permohonan awal Najib berkaitan titah berkenaan.
“Mahkamah konsisten berpendapat penghinaan adalah isu serius yang perlu dibawa dalam tempoh munasabah,” katanya.
Najib, 72, memfailkan permohonan komital itu pada 21 Mei lalu dengan mendakwa Terrirudin telah mengelirukan mahkamah dan menghalang titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Sebelum ini, Najib memfailkan semakan kehakiman pada 1 April 2024 bagi mendapatkan perintah mandamus untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah tersebut.
Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 3 Julai 2024.
Rayuan selanjutnya oleh Peguam Negara ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 6 Ogos lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Najib kemudian mengemukakan rayuan dan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, sekali gus memihak kepada beliau.








