Rico Rinaldi bimbang jenama tempatan ‘mati’, desak kerajaan campur tangan isu TikTok Shop

PEREKA fesyen terkenal, Rico Rinaldi meluahkan kebimbangannya terhadap masa depan jenama tempatan yang berdepan cabaran besar di platform TikTok Shop.

Menurutnya, kadar caj komisen yang semakin meningkat serta persaingan produk luar, khususnya dari China, memberi tekanan hebat kepada usahawan tempatan.

“Sekarang semua perlu bergantung pada iklan berbayar, tidak lagi boleh berharap pada capaian organik. Lama-kelamaan jenama tempatan boleh lenyap,” katanya menerusi ciapan di Thread.

Rico menjelaskan, jenama tempatan sebenarnya banyak menggerakkan ekonomi dalam negara kerana keseluruhan proses iaitu daripada pengeluaran hingga pemasaran yang menggunakan khidmat tenaga kerja tempatan.

Kenyataan itu mengundang persoalan sama ada kerajaan wajar tampil mengawal lambakan produk luar di platform digital bagi memastikan kelangsungan jenama tempatan.

Sementara itu, influencer King.Faizwan pula berpandangan pengguna dan peniaga seharusnya lebih bijak memilih platform.

“TikTok menaikkan caj itu hak mereka. Sebagai pengguna, kita ada kuasa untuk beralih ke platform lain,” katanya.

Perdebatan ini mencetuskan persoalan lebih besar, perlukah kerajaan campur tangan, atau peniaga tempatan sendiri yang harus mencari strategi baharu?

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat