OSAKA: Malaysia mencuri tumpuan di Ekspo Osaka 2025 apabila dua kementerian utama iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menganjurkan Minggu ke-22 di Pavilion Malaysia dari 8 hingga 14 September.
Bertemakan “Menjana Kelestarian, Menginspirasi Kehidupan”, program ini menjadi pentas penting untuk menzahirkan komitmen Malaysia terhadap inovasi, kelestarian dan pembangunan inklusif.
Ia juga memperkukuh kerjasama global dalam menangani cabaran peralihan tenaga, transformasi air dan perubahan iklim.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli yang berkata, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
“Malaysia beriltizam mencapai Sasaran Sifar Bersih 2050 dan forum ini menjadi bukti kita serius dalam menerajui agenda serantau berkaitan tenaga, air dan iklim,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang minggu ini, dua forum utama menjadi tumpuan iaitu Forum Peralihan Tenaga & Transformasi Air serta Forum Teknologi Hijau & Perubahan Iklim.
Kedua-duanya menghimpunkan pembuat dasar, peneraju industri dan pakar antarabangsa untuk bertukar pandangan dan merangka solusi mampan.
Program ini turut membuka ruang kepada peluang perdagangan dan pelaburan dengan penyertaan syarikat-syarikat tempatan seperti TNB, PETRONAS, Malakoff, UEM Lestra, Air Selangor serta beberapa pemain teknologi hijau lain.
Beberapa memorandum persefahaman turut dimeterai sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dan mempercepatkan pencapaian matlamat kelestarian bersama.
Penganjuran minggu bertemakan kelestarian ini diselaras oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dengan sokongan agensi teknikal seperti SEDA, SPAN, ST, IWK, PAAB dan NAHRIM bagi menonjolkan usaha Malaysia ke arah pembangunan mampan di pentas antarabangsa.