Pas Hanya Pelengkap Syarat Percaturan Politik Bersatu – Mahfuz

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan PAS sebagai sekadar pelengkap syarat dalam siri permainan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan tindakan unilateral menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Mahfuz menyelar keputusan Bersatu yang dibuat tanpa rundingan bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas dan menyifatkannya sebagai bukti sikap angkuh serta mementingkan diri.

“Usul ini membongkar hakikat sebenar bahawa Bersatu ialah sebuah parti yang tidak menghargai perbincangan bersama dan lebih mengutamakan kepentingan individu berbanding rakyat atau kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mendakwa bahawa Pas yang sebelum ini mendakwa sebagai penentu landskap politik negara kini hanya menjadi perhiasan syarat dalam strategi kuasa Bersatu.

“Suara mereka diketepikan, pendirian mereka tidak dihitung dan maruah mereka dipijak seperti kain buruk.

“Jika beginilah layanan terhadap rakan kongsi paling setia, maka jelaslah Pas tidak lebih daripada sekadar pak pacak kuasa dalam percaturan politik Bersatu,” ujarnya.

Mahfuz menyatakan pendirian itu sebagai mengulas sesi Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang meluluskan pencalonan Presiden parti itu sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan PN kembali memerintah.

Anda Mungkin Berminat