Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, membidas keras Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, susulan dakwaan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin ketika menjawat jawatan Pengerusi Kedah Agro.
Kata Mahfuz, alasan “tidak tahu apa-apa” yang dikemukakan Sanusi bukan sahaja lemah, malah disifatkan sebagai menghina kebijaksanaan rakyat Kedah serta mencerminkan kegagalan serius dalam tadbir urus negeri.
“Terus terang alasan itu bukan sekadar lemah, ia memalukan, menghina akal rakyat, dan boleh dianggap sebagai satu percubaan menutup kelemahan pentadbiran sendiri dengan cerita kartun,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Tegas beliau, kronologi masa jelas menunjukkan perbuatan yang membawa kepada pertuduhan berlaku selepas Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 17 Mei 2020, iaitu pada 23 Jun 2020.
“Ini bukan sebelum jadi MB.
“Ini selepas jadi MB. Kalau seorang Menteri Besar pun tak boleh beza tarikh dia sendiri jadi MB, patutlah negeri tunggang-langgang,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Sanusi boleh mendakwa tidak mengetahui sebarang perkara sedangkan Azman kekal sebagai Pengerusi Kedah Agro sehingga syarikat milik kerajaan negeri itu ditutup. Walhal Kedah Agro berada di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dipengerusikan sendiri oleh Sanusi.
“Ini Pengerusi syarikat kerajaan negeri, bukan syarikat tepi jalan. Dan Sanusi juga Pengerusi MBI. Tapi dia nak beritahu rakyat, ‘saya tak tahu apa yang Pengerusi syarikat bawah saya sendiri buat’,” katanya.
Menurut Mahfuz, keadaan itu hanya membawa kepada dua kemungkinan, sama ada Sanusi mengetahui perkara tersebut tetapi cuba melepaskan diri daripada tanggungjawab, atau beliau sememangnya gagal memantau urusan pentadbiran negeri.
“Dua-dua pilihan ini memalukan. Sanusi tipu, atau Sanusi memang tak buat kerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahfuz turut menyindir sikap Sanusi yang lantang mengkritik pihak lain sebelum ini, namun dilihat mengelak tanggungjawab apabila isu melibatkan pentadbirannya sendiri.
“Bila serang orang lain, depan kamera Sanusi bukan main garang. Bila kena batang hidung sendiri, terus jadi MB paling tak tahu apa dalam sejarah Malaysia,” ujarnya.
Mahfuz turut mengaitkan isu itu dengan beberapa masalah lain di Kedah yang menurutnya sering dijawab dengan alasan “tidak tahu”, termasuk isu bekalan air, unsur nadir bumi (REE), pelaburan, banjir serta projek terbengkalai.
“Kalau semua dia tak tahu, apa sebenarnya yang dia tahu? Selain berdrama depan kamera?” soal beliau.
Walaupun menegaskan tidak menuduh mana-mana pihak bersalah dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah, Mahfuz menegaskan bahawa alasan yang diberikan oleh Sanusi adalah tidak boleh diterima.
“Sanusi boleh tipu penyokong tegar, boleh tipu pentas ceramah, boleh tipu kamera TikTok, tapi dia tak boleh tipu tarikh.
“Kalau semua itu pun dia ‘tak tahu’, lebih baik dia berhenti jadi MB dan serah pada orang yang sekurang-kurangnya tahu tarikh dia sendiri mengangkat sumpah,” tambahnya.
Baca juga:








