FAM 99 Tahun: Legasi Seabad Bola Sepak Demi Negara

Oleh: Aliyaa Azmi

GENAP 99 tahun lalu, sebuah perjalanan panjang bola sepak tanah air bermula, dari sebuah padang kecil ke pentas dunia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdiri di ambang usia seabad dengan semangat yang tidak pernah luntur.

Ditubuhkan pada 11 September 1926 dengan nama Malayan Football Association (MFA), badan induk itu menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah yang membentuk jati diri bola sepak negara.

Dari Pestabola Merdeka yang gah suatu ketika dulu hingga kejayaan layak ke Sukan Olimpik Munich 1972, FAM menjadi saksi perjuangan anak bangsa di arena antarabangsa.

“Bola sepak Malaysia bukan sekadar sukan, tetapi cerminan semangat, kebanggaan dan perpaduan rakyat sejak 99 tahun lalu,” kata FAM dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sepanjang hampir satu abad, FAM juga pernah dipimpin oleh tokoh-tokoh besar negara, antaranya Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Legasi kepimpinan ini melakar sejarah tersendiri buat bola sepak Malaysia.

Kini, selepas melalui pelbagai era pasang surut, termasuk kejayaan layak ke Piala Asia 2023, FAM mahu menjadikan ulang tahun ke-100 sebagai titik tolak untuk menyusun langkah lebih besar demi masa depan.

“Kita mesti menghargai jasa mereka yang terdahulu, sambil memastikan generasi muda hari ini terus diberikan peluang dan sokongan untuk mencipta sejarah baharu,” kata kenyataan itu lagi.

Menyedari harapan tinggi rakyat terhadap sukan nombor satu negara itu, FAM berjanji untuk terus berusaha memperkukuhkan pentadbiran, pembangunan akar umbi dan persediaan skuad kebangsaan menghadapi cabaran mendatang.

“Ulang tahun ke-100 bukan sekadar angka, tetapi janji kami kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa bola sepak negara akan terus mara, demi nama dan maruah tanah air,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat