PENDANG: Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis menegur Tun Faisal Ismail Aziz berhubung beberapa kenyataan yang disifatkan boleh menjejaskan hubungan antara Bersatu dengan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS.
Menurut Abdul Razak, komen Tun Faisal seolah-olah memberi gambaran Bersatu mahu menjadi “abang besar” dalam PN, sesuatu yang boleh mengundang salah faham dan rasa kurang senang dalam kalangan sekutu parti itu.
“Saya harap rakan-rakan komponen PN, terutama PAS, tidak berkecil hati kerana bagi saya semua komen itu adalah pandangan peribadi Tun Faisal sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Razak juga mendakwa usul yang pernah dibawa Tun Faisal dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Selain itu, beliau mengingatkan supaya isu dalaman tidak dibawa keluar secara terbuka kerana ia boleh melemahkan parti.
“Lebih baik isu dalaman dikekalkan sebagai perbincangan dalaman dan secara keluarga.
“Dukunglah nasihat dan arahan Presiden serta Timbalan Presiden agar kita bertaut dan bermaafan,” ujarnya.
Abdul Razak turut menegaskan agar Tun Faisal berhati-hati dengan kenyataan yang berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap Bersatu.
“Jangan juga kerana mulut kamu seorang yang celupar, rakan-rakan komponen menganggap Bersatu sudah bongkak dan takbur,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyindir latar belakang Tun Faisal yang menurutnya tidak melalui fasa getir penubuhan Bersatu kerana ketika itu masih bersama UMNO.
“Ingatlah jawatan yang kamu pegang ini hanyalah jawatan lantikan. Kamu tidak sehebat yang kamu rasa,” tambahnya.
Kenyataan Abdul Razak ini hadir ketika PN sedang menekankan perpaduan dalaman dan usaha memperkukuh kerjasama antara komponen utamanya menjelang cabaran politik mendatang.








