‘PAS Mimpi Berkuasa, Lupa Berkhidmat Untuk Rakyat’ – Mahfuz Omar

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, mengeluarkan kenyataan tegas terhadap PAS susulan Muktamar ke-71 parti itu yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan PAS sebagai ‘terperangkap dalam bubble politiknya sendiri’ dan terlalu asyik bermimpi untuk memerintah negara tanpa menyentuh realiti kehidupan rakyat.

Beliau mempersoalkan asas keyakinan PAS untuk memimpin negara, merujuk kepada rekod kerjasama parti itu dengan Bersatu yang menurutnya telah mencetuskan krisis kepimpinan dan kegagalan menangani isu ekonomi semasa pandemik.

“Persoalannya, keyakinan berdasarkan apa? Berdasarkan rekod kerjasama dengan Bersatu… atau janji-janji manis yang hanya tinggal janji?

“Rakyat sudah muak dengan retorik, yang rakyat mahu ialah tindakan,” katanya

Beliau turut membidas dakwaan PAS mengenai kestabilan kepimpinan mereka dengan menyentuh isu pencemaran sungai, pengurusan air dan kesusahan hidup rakyat di negeri-negeri yang ditadbir PAS.

“Saya ingin bertanya: kestabilan untuk siapa? Untuk parti dan pemimpin atau untuk rakyat?… Rakyat mahu pemimpin yang stabil bekerja untuk rakyat,” katanya.

Mahfuz menyelar strategi PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 yang menurutnya masih berlandaskan politik perkauman dan permainan sentimen.

“Rakyat Malaysia sudah berubah; mereka mahukan politik yang matang, inklusif… PAS nampaknya masih terkial-kial di zaman lampau,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik sokongan PAS terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11, menyifatkan kerjasama tersebut sebagai punca ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

“Rakyat masih trauma dengan episod itu. Jangan jadikan rakyat sebagai bahan eksperimen untuk permainan kuasa,” katanya.

Mahfuz mempersoalkan kecekapan kerajaan negeri Kedah yang diterajui PAS serta menyifatkan keempat-empat negeri di bawah pentadbiran PAS sebagai ‘kerajaan dan negeri gagal’.

“Kepimpinan kerajaan Kedah tidak dapat menunjukan kompitensi dan efisiensi… Ke empat- empat negeri yang di terajui PAS adalah kerajaan dan negeri gagal.

“Rakyat sudah letih dengan politik yang memecahbelahkan. Mereka mahukan pemimpin yang berfikir untuk negara, bukan untuk kepentingan diri dan parti dan bukan sekadar mimpi untuk berkuasa,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat