ABIM Nyata Sokongan Terhadap PM, Desak Dunia Bertindak Henti Kekejaman Israel

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tampil menyatakan sokongan padu terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengecam rejim Zionis Israel dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam (OIC) di Doha, Qatar.

Dalam kenyataan media pada Selasa, Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyifatkan serangan udara Israel ke atas Doha sebagai satu pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa.

“Tindakan ini adalah bukti nyata bahawa Israel sedang menggerakkan agenda Israel Raya yang mahu meluaskan pengaruh ketenteraan.

“Malah mencabul kedaulatan negara-negara serantau serta merobohkan segala usaha damai yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

ABIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Gaza yang semakin parah.

“Serangan ke atas hospital, pemusnahan kediaman, dan korban dalam kalangan wanita serta kanak-kanak menjadi bukti kerakusan rejim Israel.

“Rejim Zionis kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, malah secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin, menolak sama sekali solusi dua negara, meneruskan genosid, mengekalkan dasar apartheid, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.

Menurut Fahmi, kecaman semata-mata sudah tidak memadai.

Beliau menggesa agar negara-negara di seluruh dunia mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit.

“Dunia harus mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit termasuk memutuskan hubungan diplomasi dan perdagangan bersama Israel.

“ABIM turut menggesa agar negara-negara Arab dan dunia Islam menarik balik sebarang bentuk normalisasi yang pernah dilakukan terhadap Israel kerana langkah itu hanya memberi legitimasi kepada kezaliman serta menguatkan lagi agenda Israel Raya,” ujarnya.

ABIM turut menyeru kerajaan agar memperkukuh sokongan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang disertai rakyat Malaysia.

Antara cadangan termasuk penubuhan pasukan pemantauan krisis di Wisma Putra dan penyediaan bantuan undang-undang antarabangsa sekiranya peserta ditahan oleh rejim Israel.

“ABIM berdiri teguh bersama Perdana Menteri Malaysia dalam menyeru masyarakat antarabangsa bukan sahaja dunia Islam.

“Tetapi seluruh komuniti global agar bertindak lebih tegas menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel,” katanya.

Anda Mungkin Berminat