BATU PAHAT: Aidiladha kembali menyinari kehidupan masyarakat dengan penuh makna apabila Program Ibadah Korban sempena Aidiladha 1447H di Masjid Kampung Pasir Panjang, Seri Gading berlangsung dalam suasana harmoni, muafakat dan kebersamaan.
Tradisi gotong-royong yang menjadi nadi masyarakat setempat jelas terserlah apabila penduduk kampung berganding bahu menguruskan ibadah korban, memperkukuh ukhuwah merentasi generasi.
Sebanyak lima ekor lembu dikorbankan melibatkan 35 bahagian peserta dengan proses penyembelihan dikendalikan oleh Imam Masjid Kampung Pasir Panjang, Ustaz Hairul Faizee Saidin.
Kehadiran anak-anak perantau yang pulang turut menambah kemeriahan, menghidupkan kembali nilai kebersamaan dan semangat saling membantu.
Lebih bermakna, masjid berusia lebih satu abad itu bukan sekadar pusat ibadah tetapi simbol penyatuan masyarakat dan warisan tradisi sejak penubuhan kampung sekitar tahun 1908 oleh masyarakat Banjar di Mukim 5, Seri Gading.
Program itu membuktikan bahawa ibadah korban bukan hanya menzahirkan tuntutan agama tetapi juga menjadi medium memperkukuh silaturrahim, menyemai nilai ihsan dan memelihara semangat muafakat.
“Semoga tradisi yang sarat dengan nilai kebersamaan ini terus dipelihara sebagai warisan bermakna yang menghubungkan generasi hari ini dan masa hadapan,” menurut satu hantaran di Facebook Jabatan Perdana Menteri.







