PETALING JAYA: Dalam semangat solidariti dan keprihatinan terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat banjir besar, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat telah menggerakkan Misi Banjir Sabah melalui inisiatif KHIDMAT Malaysia.
Misi itu memberi tumpuan kepada daerah-daerah yang paling terkesan seperti Penampang, Papar dan Beaufort dengan pelbagai bentuk bantuan sedang disalurkan secara aktif.
Menurut Naib Ketua AMK, Nabil Halimi, misi tersebut telah melantik Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mohd Nur Hilmie Milus sebagai koordinator KHIDMAT Malaysia bagi operasi bantuan tersebut.
“Pasukan sukarelawan KHIDMAT Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja awal termasuk pemantauan, penyaluran bantuan asas dan sokongan logistik bersama agensi-agensi tempatan,” katanya.
Sebagai Pengerusi KHIDMAT Malaysia, Nabil turut menekankan bahawa keutamaan misi itu adalah memastikan keselamatan penduduk, menyediakan keperluan asas seperti makanan, air bersih, selimut, pakaian dan kit kecemasan serta memberi sokongan moral kepada keluarga yang terkesan.
Tambah beliau, AMK dan KHIDMAT Malaysia kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, agensi penyelamat dan organisasi kemanusiaan lain bagi memastikan koordinasi yang lebih berkesan dalam pengurusan bencana.
“AMK Malaysia dan KHIDMAT Malaysia kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, agensi penyelamat dan organisasi kemanusiaan lain bagi memastikan koordinasi lebih baik dalam pengurusan bencana,” katanya.
Katanya lagi, seruan turut dibuat kepada masyarakat Malaysia agar tampil membantu, sama ada melalui sumbangan kewangan, barangan keperluan atau penyertaan sebagai sukarelawan.
“Kami menyeru masyarakat Malaysia yang prihatin untuk sama-sama menghulurkan sokongan, sama ada dalam bentuk sumbangan kewangan, barangan keperluan atau penyertaan sebagai sukarelawan bagi memperkuat usaha bantuan di lapangan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai cara menyumbang dan menyertai misi boleh diperoleh melalui laman rasmi media sosial KHIDMAT Malaysia.
“AMK Malaysia dan KHIDMAT Malaysia akan terus komited untuk berada di barisan hadapan dalam usaha kemanusiaan, memastikan tiada mangsa yang terpinggir ketika berdepan dugaan bencana alam,” ujarnya.