KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen teguhnya terhadap Palestin bukan hanya dari segi solidariti politik, tetapi turut merangkumi usaha membina asas pemerkasaan ekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi antara Malaysia dan Palestin, hari ini.
Upacara pertukaran MoU berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MoU ini bukan sekadar perjanjian, tetapi simbol persahabatan dan hubungan persaudaraan yang mendalam antara kedua-dua negara. Ia menjadi instrumen penting yang akan membuka jalan kepada kolaborasi lebih erat dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Antara bidang utama kerjasama yang digariskan termasuk fasilitasi perdagangan, pembangunan zon industri, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri halal, pelancongan, tenaga serta ekonomi digital.
Kerajaan Malaysia turut bersetuju secara prinsip untuk memberikan pengecualian duti kastam ke atas beberapa produk pertanian dan makanan dari Palestin yang diimport ke Malaysia.
Menurut Tengku Zafrul, MoU berkenaan adalah bukti kesediaan Malaysia membantu Palestin dalam usaha pemulihan ekonomi, membina semula institusi nasional serta menyokong kestabilan masa depan mereka.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkasakan hubungan dua hala serta membawa manfaat nyata kepada kedua-dua negara,” katanya.
Baca juga:








