PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh pendekatan libat urus dengan industri penerbitan termasuk mengadakan perbincangan awal bersama penerbit sebelum sebarang tindakan diambil terhadap hasil penerbitan.
Menurut kenyataan KDN hari ini, langkah itu diputuskan susulan sesi libat urus bersama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pada 21 April lalu bagi membincangkan isu serta perkembangan semasa industri berkenaan.
โPendekatan ini adalah sebahagian usaha penambahbaikan bagi memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif,โ menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam masa sama, KDN memaklumkan pihaknya akan meneliti serta menilai semula Perintah Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Kementerian itu turut menegaskan komitmen untuk menghormati kebebasan berkarya serta menggalakkan wacana ilmiah dan perkembangan kreativiti penulisan dalam negara.
โKDN sentiasa menghormati kebebasan berkarya, namun setiap penerbitan perlu mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat,โ jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, KDN menyeru semua pihak memberi ruang kepada kementerian untuk mengurus isu penerbitan secara seimbang antara kebebasan berkarya dan kepentingan keselamatan awam.
Baca juga:








