KDN haram dua buku Shamsiah Fakeh demi keselamatan awam

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan berkaitan Shamsiah Fakeh dibuat berdasarkan penilaian semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menurut KDN, larangan terhadap buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah dilaksanakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kementerian menjelaskan, tindakan itu tidak bergantung kepada tempoh penerbitan sesuatu bahan, sebaliknya dinilai berdasarkan kandungan serta implikasinya terhadap keselamatan awam.

“Setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, KDN memaklumkan hasil pemantauan mendapati terdapat bahan yang mengandungi unsur serta ideologi komunisme kini semakin terbuka tersebar di pasaran.

Perkembangan itu, menurut kementerian, menunjukkan wujud kecenderungan untuk menormalisasi dan mengagung-agungkan fahaman berkenaan yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan negara.

KDN turut menolak dakwaan bahawa langkah tersebut bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah, sebaliknya menegaskan ia merupakan tindakan pencegahan bagi melindungi masyarakat.

“KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyebar atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan berkenaan termasuk melibatkan pihak penerbit bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan.

Terdahulu, KDN mengeluarkan arahan larangan terhadap dua buku tersebut, manakala penerbit Gerakbudaya mengesahkan menerima notis berkenaan serta mengeluarkan kenyataan media.

Isu itu turut mengundang reaksi Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang juga cucu kepada Shamsiah Fakeh, yang menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak berasas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat