ULASAN: PN Sedang Tenat, Tunggu Giliran Untuk Berkubur

Oleh: Mohd Najib Hashim

GABUNGAN Perikatan Nasional (PN) mungkin masih gah dengan slogan “gelombang hijau”, tetapi menurut bekas Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, PN kini seperti pesakit ICU – tenat, bergantung pada mesin bantuan hayat.

Dalam beberapa catatan di Facebook, Zuhdi menyifatkan perjalanan politik PAS sejak sedekad lalu penuh dengan percubaan pakatan dengan beberapa gerakan politik daripada Gagasan Sejahtera, Muafakat Nasional (MN), hingga kini Perikatan Nasional(PN).

Dua pakatan sudah berkubur, dan yang ketiga ini, katanya, sudah mula nazak.

Lebih tajam, beliau menegaskan punca utama keruntuhan bukan lagi sekadar “tikaman Pas” seperti dicanang, tetapi kegagalan rakan sekutu khususnya Bersatu untuk menjadi tulang belakang sebenar. 

Bersatu ini boleh ibarat macam bank – duit ada, tapi jiwa politik tak ada.

Beliau mengimbau, sewaktu MN runtuh, UMNO tumbang kerana surat presidennya kepada Agong yang menyokong Anwar Ibrahim. 

Tetapi untuk PN, katanya, masalah lebih parah: parti yang sepatutnya jadi ketua gabungan sendiri tidak punya hala tuju. 

“Kalau nak harap Bersatu sebagai nakhoda, alamat kapal PN hanyut tengah laut,” tambahnya.

Sindiran itu menghiris kerana ia mengingatkan bahawa sepanjang PRU lalu, hampir semua dana pilihan raya PN datang daripada Bersatu.

Ini membenarkan apa yang diungkit oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Dr Marzuki Mohamad dalam pembelaannya apabila partinya diperkotak- katik oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang juga panglima perang PN dalam pilihan raya lalu dan jika ada rezeki untuk pilihan raya yang akan datang.

Tetapi sumbangan kewangan itu tidak diterjemah kepada kekuatan politik. 

Undi Melayu kekal ditarik oleh jentera Pas, manakala Bersatu dilihat hanya menumpang populariti gelombang hijau.

“Pas boleh hidup sendiri, pernah hidup solo, malah lebih tahan lama. Yang mati biasanya bukan Pas, tapi gabungan,” tulisnya nakal, memberi isyarat bahawa Pas tidak akan karam bersama kapal yang bocor.

Untung Rugi Pas bersama Bersatu

Dari segi politik, kekal bersama Bersatu memberi Pas beberapa kelebihan. 

Ia memastikan jentera parti Islam itu tidak perlu pening kepala soal kewangan kerana Bersatu masih berfungsi sebagai ‘bank’ yang membiayai kempen besar-besaran. 

Bersama Bersatu juga, Pas boleh terus muncul sebagai parti arus perdana, bukan lagi imej parti kampung semata-mata. 

Malah, dalam keadaan UMNO yang berusaha pulih dan PH tidak mungkin membuka pintu, kekal dalam PN memberi Pas ruang tawar-menawar politik sekurang-kurangnya sehingga PRU akan datang. 

Slogan “gelombang hijau” meskipun semakin pudar, masih ada pengaruh dalam kalangan pengundi muda yang menolak UMNO dan skeptikal dengan PH, sesuatu yang tidak harus dipandang enteng.

Namun, harga yang perlu dibayar juga besar. 

Dengan kekal di sisi Bersatu, Pas terpaksa memikul beban reputasi sebuah parti yang dibelit isu dana, skandal mahkamah dan kepimpinan yang kian goyah. 

Ia menutup ruang untuk Pas menyerlahkan kemampuan berdikari, seolah-olah Pas tidak mampu bergerak tanpa tongkat Bersatu, walaupun realitinya akar umbi Pas jauh lebih teguh. 

Risiko yang lebih membimbangkan ialah andai Bersatu karam lebih awal akibat tekanan undang-undang atau perpecahan dalaman, Pas mungkin turut ditarik tenggelam kerana dianggap sekutu rapat. 

Pendek kata, kekal bersama Bersatu ibarat menumpang kereta mewah yang minyaknya ditanggung penuh, tetapi pemandunya rabun malam  silap-silap masuk gaung sekali.

Dengan kata lain, untungnya Pas masih boleh guna Bersatu sebagai payung kewangan dan pentas nasional, tetapi ruginya Pas boleh turut tenggelam bersama kapal yang sudah bocor.

Pandangan Zuhdi menimbulkan persoalan: adakah ini sekadar celoteh seorang bekas penyelidik, atau sebenarnya suara hati ramai dalam Pas yang mula jemu dengan ‘beban Bersatu’?

Apa pun, jika ramalan Zuhdi benar, PN mungkin hanya menunggu masa untuk masuk ke liang lahad politik – dengan batu nisan bertulis: “Ditaja Bersatu, dihidupkan Pas, dimatikan kelemahan sendiri.”

***Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat