PETALING JAYA: Kisah pilu seorang wanita lumpuh separuh badan bersama tiga anaknya kini bertukar harapan, selepas menerima sokongan pelbagai pihak untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih bermaruah.
Ain Shahkirah, 42, anak jati Sarawak, pernah ditinggalkan suami tanpa khabar selepas diserang strok ketika menetap di Johor.
Dalam keadaan serba kekurangan, beliau pulang ke Miri bersama anak-anak, menumpang di rumah pusaka usang tanpa bekalan air dan elektrik.
Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam satu hantaran di Facebook, Ain dan anak-anaknya terpaksa bertahan dengan bubur kosong, malah anak-anaknya tercicir daripada persekolahan selama beberapa bulan.
Kisah Ain menyentuh hati Nurul Izzah yang kemudian menyalurkan bantuan RM10,000 hasil sumbangan bersama rakan-rakan.
Beliau turut menghubungkan pihak lain untuk menanggung kos persekolahan anak-anak serta membaik pulih kemudahan asas rumah tersebut.
“Daripada kita hanya memberi ikan, lebih baik kita berikan joran.
“Dengan adanya perniagaan kecil, Ain boleh berdikari dan pulih semula maruahnya sebagai wanita,” katanya.
Melalui kerjasama dengan Ahli Parlimen Miri, Ain dibantu membuka gerai burger lengkap dengan kelengkapan serta seorang pekerja.
Wakil rakyat itu turut turun padang menunjukkan cara menguruskan gerai, demi memberi semangat kepada keluarga ini.
“Syukur, usaha tersebut membuahkan hasil apabila Ain kini mampu menjana sekitar RM350 sehari, sekali gus memberi harapan baharu buatnya untuk membesarkan anak-anak dengan lebih baik.” tambahnya.
Kisah Ain mencerminkan cabaran sebenar wanita kurang upaya yang sering dipinggirkan, namun mampu bangkit dengan semangat baharu apabila diberi peluang dan sokongan yang tulus.
Ia menjadi bukti bahawa pemerkasaan sosial bukan sekadar retorik tetapi mampu mengubah nasib insan terpinggir.








