Sumud 2.0 tanpa Farah Lee, seru utamakan misi bukan individu

Oleh: Aliyaa Azmi

PEMPENGARUH dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee menegaskan tidak menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, sebaliknya menyeru orang ramai memberi perhatian kepada matlamat misi berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu telah dibuat lebih awal atas faktor peribadi serta beberapa kontroversi yang tidak dapat didedahkan kepada umum.

“Saya tidak menyertai GSF 2.0 dan telah lama memutuskan untuk tidak memohon menyertai misi ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads pada Jumaat.

Farah berkata, ketika menyertai Global Sumud Flotilla 1.0 sebelum ini, beliau menolak kebanyakan tawaran temu bual media bagi memastikan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada misi.

Katanya, fokus seharusnya diberikan kepada usaha kemanusiaan, bukan individu yang terlibat.

Dalam masa sama, Farah menafikan dakwaan bahawa dirinya tidak lagi aktif dalam kerja-kerja bantuan untuk Gaza.

Sebaliknya, dia memaklumkan masih berada di lapangan dan terus menyalurkan bantuan termasuk sepanjang misi musim sejuk dan Ramadan tahun ini.

Menurutnya, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan termasuk program tajaan anak angkat bagi membantu anak-anak yatim di Gaza.

Farah turut menegaskan setiap individu mempunyai peranan dan kapasiti berbeza dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Fokus kepada misi, bukan ahli yang menyertai misi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan isu penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana perhatian tertumpu kepada individu tertentu.

Bagaimanapun, beliau dia menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana misi kemanusiaan pada masa akan datang sekiranya diperlukan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat