Hannah Yeoh Nafi Dakwaan Tukar Status Rumah Secara ‘Istimewa’

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menerima layanan ‘istimewa’ dalam urusan pertukaran status kediamannya di Taman Segar, Cheras daripada pegangan pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold).

Penafian itu dibuat susulan tuduhan yang dibangkitkan oleh penyelidik dan ahli arkeologi, Zaharah Sulaiman, menerusi sebuah video yang mempersoalkan bagaimana proses tersebut didakwa dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

Dalam video berkenaan, Zaharah mendakwa ramai rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, telah mengemukakan permohonan untuk menukar status tanah daripada ‘leasehold’ kepada ‘freehold’, namun masih belum berjaya meskipun menunggu selama puluhan tahun.

Beliau turut mempersoalkan kaedah atau ‘formula’ yang digunakan sehingga pertukaran status di kawasan Taman Segar, yang pernah diwakili Hannah, didakwa dapat diselesaikan dengan cepat.

Menjawab dakwaan tersebut, Hannah menegaskan tuduhan itu adalah fitnah yang tidak berasas dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

“Laporan polis telah dibuat terhadap mereka yang menyebarkan fitnah ini. Keterlaluan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Anda Mungkin Berminat