Anwar Mahu Projek Perumahan TLDM Sandakan Disiapkan Segera

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya projek pembinaan perumahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai RM190 juta di Batu 10, Sandakan dipercepatkan demi menjaga kebajikan warga tentera.

Menurut beliau, isu berkaitan tanah bagi projek itu akan ditangani dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah yang mempunyai bidang kuasa dalam pentadbiran tanah.

“Saya minta laporan kemajuannya dalam tempoh dua minggu, mungkin dalam mesyuarat Kabinet akan datang Panglima Angkatan Tentera beri laporan, saya nak tahu supaya dipercepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan turut meluluskan pembinaan jeti baharu bernilai RM122 juta di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) tahun ini.

Beliau menegaskan kedua-dua projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan serta keselesaan anggota ATM dan keluarga mereka.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata, projek perumahan yang melibatkan 225 unit kuarters itu kini dalam proses akhir tender dan dijangka siap pada 2030.

“Kami akan pastikan tidak ada kelewatan kerana perumahan adalah satu daripada kebajikan yang dititikberatkan sekarang,” katanya.

Mohd Nizam turut menghargai keprihatinan kerajaan MADANI kerana menjadikan pasukan keselamatan antara kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 menerusi Inisiatif BUDI MADANI (BUDI95).

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis kini menikmati harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.05 seliter.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat