Reformasi Bukan Retorik, Tapi Tindakan Membela Rakyat – Anwar

MELAKA: Dalam suasana penuh semangat, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat di Rapat Umum PKR Melaka, usai menghadiri majlis Wacana Belanjawan 2026.

Ucapan beliau menekankan bahawa reformasi bukan sekadar slogan politik tetapi satu iltizam untuk membela nasib rakyat secara menyeluruh.

“Dua puluh tujuh tahun usia perjuangan mengajar kita tentang erti tekad, sabar dan keyakinan bahawa kuasa mesti diolah dan diterjemah sebaiknya dalam membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI yang dipimpinnya berlandaskan prinsip ihsan dan keadilan sosial bukan semata-mata teori ekonomi.

Menurutnya, antara pencapaian utama yang diketengahkan termasuk penurunan harga minyak kepada RM1.99, kenaikan gaji penjawat awam selepas 12 tahun tertangguh serta usaha mengembalikan dana awam yang hilang.

“Kita buktikan bahawa kebijakan yang didirikan berasaskan teori ekonomi semata tidak memadai tetapi ia mesti diseimbangkan dengan ihsan, rahmah dan prinsip keadilan sosial.

“Itu wajah sebenar reformasi yang kita damba dan perjuangkan bersama rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa reformasi bermakna menolak kebejatan, menghentikan ketirisan, dan memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau menegaskan pentingnya pembangunan yang seimbang tanpa mengira kaum, warna kulit, negeri mahupun wilayah.

“Justeru, mesti ditegaskan bahawa reformasi juga bermaksud menolak kebejatan, menghentikan ketirisan, mengolah serta mensasarkan subsidi rakyat kepada yang memerlukan, dan pastikan pembangunan yang seimbang tanpa kira kaum, warna kulit, negeri mahupun wilayah,” ujarnya.

Dalam konteks antarabangsa, Anwar menyeru agar Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang dizalimi, sambil mengekalkan pendirian diplomatik yang teguh dan berprinsip.

“Sementalahan, Malaysia mesti terus mengungguli dan menjuarai nasib warga yang tertindas dan dizalimi di Gaza dan terus cekal dan tegas menjulang diplomasi dan wacana yang sama sekali tidak menjejaskan pendirian ‘centrality’ kita,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat