MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sejarah Malaysia yang kaya dengan warisan bangsa tidak seharusnya ditulis atau ditentukan oleh kuasa kolonial mahupun Barat.
Menurut beliau, penulisan sejarah negara perlu berpaksikan kepada fakta sebenar yang mencerminkan identiti dan warisan Malaysia serta pengetahuan yang wajar dimiliki oleh rakyat.
“Sejarah tidak boleh ditentukan oleh Barat.
“Sejarah mesti mewakili fakta sebenar Malaysia dan apa yang seharusnya diketahui rakyat,” tegas beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berlangsung di Encore, Melaka pada Sabtu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa penulisan sejarah negara harus berasaskan kajian dan penyelidikan yang mendalam bukan sekadar mengikut naratif yang diwarisi daripada penjajah.
Beliau turut mengangkat era Kesultanan Melayu Melaka sebagai contoh kegemilangan peradaban kepulauan Melayu dengan pentadbiran yang teratur, sistem perundangan yang bijaksana dan kedudukan strategik sebagai pusat perdagangan yang dihormati dunia.
“Kita pernah berpeluang menjadi rakan dagang utama.
“Kita berhubung dengan pihak Barat, berhubung dengan pihak Timur, dengan kerajaan China, dengan wakil Maharaja China, dengan Laksamana Zheng He yang kita kenali sebagai Laksamana Cheng Ho.
“Kita juga pernah berkesempatan mengenali Puteri Hang Li Po,” kata Anwar.
Beliau turut menolak pandangan beberapa sarjana Barat yang menyatakan bahawa konsep globalisasi di tanah Melayu hanya bermula dua abad lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, Melaka telah lama menjadi pusat hubungan dagangan dan diplomasi dengan kuasa besar seperti China, Arab, India dan negara-negara Asia Tenggara.
“Apakah itu bukan globalisasi? Kita berdagang dengan Timur, dengan Barat, dengan dunia Arab dan China. Melaka pada ketika itu adalah contoh nyata peradaban dunia,” ujar beliau.
Anwar menekankan bahawa usaha memperkukuh semula naratif sejarah negara bukan sahaja penting dalam konteks pendidikan, malah berperanan besar dalam sektor pelancongan.
Malaysia, katanya, mampu tampil dengan tarikan unik yang berakar daripada sejarah, budaya dan peradaban sendiri.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Tahun Melawat Malaysia 2026, yang disifatkan sebagai simbolik kepada keunggulan sejarah negeri itu serta peranannya dalam pembinaan peradaban Malaysia.







