PETALING JAYA: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh apabila kedua-dua negara menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu Pertukaran Nota dalam satu majlis rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Mian Shehbaz Sharif pada Isnin.
Dokumen kerjasama itu meliputi bidang pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah, pelancongan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala Pertukaran Nota memberi tumpuan kepada latihan bersama untuk para diplomat.
Anwar menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Pakistan yang telah lama terjalin.
“Kami sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang baharu dan berimpak tinggi termasuk teknologi digital, semikonduktor dan pendidikan STEM,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh isu kemanusiaan di Gaza dengan kedua-dua negara sependapat bahawa kekejaman terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera.
“Keutamaan harus diberikan kepada perlindungan hak asasi rakyat Palestin serta usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” tegasnya.
Lawatan rasmi Mian Shehbaz Sharif ke Malaysia bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama baharu yang lebih dinamik dalam pelbagai sektor.