KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa ia tidak terlibat dalam proses pemilihan pemaju bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada penduduk setempat.
Penjelasan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Khamis, susulan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat dan beberapa Ahli Parlimen berhubung isu berkenaan.
“Penduduk Kampung Sungai Baru sendiri yang menubuhkan persatuan, mencari dan memilih pemaju yang mereka kehendaki tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.
Menurut Dr Zaliha, penduduk telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru pada tahun 2010 sebagai langkah awal untuk menggerakkan usaha pembangunan semula kawasan tersebut, yang melibatkan 328 unit hartanah terdiri daripada 264 unit flat dan 64 unit rumah teres.
Persatuan berkenaan pada awalnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ritzy Gloss Sdn. Bhd., sebelum projek itu diambil alih oleh Suez Capital Sdn. Bhd. pada tahun 2016.
Menjawab dakwaan bahawa syarikat pemaju tersebut dimiliki pihak luar negara, Dr Zaliha menjelaskan bahawa semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan pemilikan syarikat itu adalah 100 peratus rakyat tempatan.
“Penjelasan ini penting bagi menolak persepsi bahawa kerajaan memihak kepada mana-mana pemaju.
“Segala proses pembangunan bermula atas inisiatif dan persetujuan komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semakan rasmi Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) mendapati tanah tersebut tidak pernah diwartakan sebagai tanah penempatan pertanian Melayu (MAS) atau rizab Melayu.
Walaupun isu ini masih dalam proses mahkamah dan tidak wajar dikomen secara terperinci, Dr Zaliha menekankan kepentingan memahami fakta sebenar agar tidak timbul kekeliruan atau tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan.