Kemasukan ke universiti awam perlu lebih telus – Chean Chung

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah 1,500 tempat baharu di universiti awam, namun menegaskan bahawa langkah itu belum mencukupi untuk menangani isu sebenar dalam sistem kemasukan pelajar.

Menurut Lee, berdasarkan pengumuman tersebut, 1,500 tempat tambahan itu akan diagihkan kepada lima universiti dan 10 program, yang bermakna secara purata hanya 30 tempat tambahan bagi setiap program.

“Setiap tahun, kira-kira 1,300 pelajar STPM memperoleh keputusan semua A. Sekalipun semua tempat baharu ini diperuntukkan kepada mereka, sesuatu yang tidak realistik, ia masih jauh daripada mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi dalam program kritikal seperti perakaunan, perubatan dan kejuruteraan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan tentang kes seorang pelajar STPM yang memperoleh 4A dan markah kokurikulum 9.9, namun tetap menduduki tangga ke-1,129 untuk 85 tempat sahaja dalam program perakaunan di Universiti Malaya.

“Itu menunjukkan betapa kompetitif dan tidak telusnya sistem kemasukan yang sedia ada,” tegasnya.

Lee menegaskan bahawa isu utama bukan sekadar jumlah tempat yang ditambah, tetapi ketelusan sistem pengambilan pelajar.

“Kita perlu tahu pecahan sebenar pengambilan antara pelajar Matrikulasi, Asasi, STPM dan Foundation. Mengapa hanya 3 peratus calon STPM memperoleh CGPA 4.0, sedangkan dalam Matrikulasi jumlahnya meningkat kepada 16 peratus?,” soalnya.

Menurutnya, tanpa sistem pemarkahan yang telus dan konsisten, pelajar serta ibu bapa tidak dapat merancang laluan pendidikan mereka dengan baik atau memahami keperluan sebenar untuk berjaya.

Beliau turut menegaskan akan terus membawa isu ini ke Parlimen bagi memastikan usaha dan kecemerlangan pelajar STPM diiktiraf serta diberikan peluang yang adil dalam sistem pendidikan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat