Malaysia diiktiraf hab kewangan Islam stabil dan beretika – Anwar

PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam dunia dengan menggerakkan pelaburan berasaskan kelestarian dan tanggungjawab sosial.

Dalam ucapan di Forum Kewangan Islam Antarabangsa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menerbitkan lebih RM20 bilion Sukuk Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (SRI) pada tahun 2024.

Menurutnya, langkah itu menunjukkan kekuatan sektor kewangan Islam negara dalam menggerakkan modal untuk projek hijau, sosial dan beretika.

“Dunia kini menilai modal bukan hanya berdasarkan pulangan, tetapi kesan terhadap kehidupan manusia dan warisan yang ditinggalkan. Malaysia telah membuktikan kewangan Islam mampu memimpin perubahan ini,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan sedia ada, sebaliknya perlu memperluas dan memperdalam pengaruh kewangan Islam ke peringkat global.

“Forum ini mesti menjadi platform untuk mengukuhkan pakatan baharu, memanfaatkan inovasi demi kebaikan bersama dan menjadikan kepimpinan Malaysia sebagai inspirasi kepada dunia,” tambahnya.

Malaysia kini diiktiraf sebagai hab kewangan Islam yang stabil dan beretika hasil inovasi selama beberapa dekad, termasuk kejayaan membangunkan pasaran sukuk global, sektor takaful yang kukuh, serta penerapan teknologi digital dalam zakat dan wakaf.

Forum tersebut turut menekankan kepentingan memperkasa komuniti melalui penyelesaian kewangan yang membantu golongan memerlukan serta memperluas kerjasama rentas sempadan bagi memajukan perniagaan beretika dan lestari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat