Ujian Rintis Kod QR MyNIISe Motosikal, Pejalan Kaki Bermula Esok

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan ujian rintis penggunaan Kod QR melalui aplikasi MyNIISe bagi laluan motosikal dan pejalan kaki di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, bermula esok (Rabu).

Langkah itu menyusuli kejayaan fasa pertama percubaan MyNIISe yang dilancarkan pada 22 September lalu, melibatkan laluan kenderaan di kedua-dua pintu masuk utama tersebut.

Menurut kenyataan KDN pada Selasa, pelaksanaan itu bertujuan mempercepat proses pemeriksaan imigresen, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara melalui penggunaan teknologi digital yang efisien dan mesra pengguna.

“Sepanjang tempoh percubaan, pengguna masih boleh menggunakan sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada, namun orang ramai digalakkan beralih kepada MyNIISe,” katanya.

KDN turut berkata, dokumen perjalanan atau pasport sah tetap diperlukan bagi urusan kemasukan, selaras dengan ketetapan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Pelaksanaan ini menjadi penanda aras baharu dalam pendigitalan perkhidmatan imigresen negara, selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan sistem kawalan sempadan lebih cekap, moden dan mesra rakyat,” jelas kenyataan itu lagi.

Maklumat lanjut mengenai penggunaan aplikasi MyNIISe boleh diperoleh melalui aplikasi tersebut dan saluran rasmi media sosial NIISe.

Anda Mungkin Berminat