PARLIMEN | Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM135 juta bagi melaksanakan Program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) Institusi Pendidikan 2025 dalam usaha menangani isu bangunan sekolah daif di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program itu memberi tumpuan kepada sekolah yang dikategorikan sebagai Skala 6 supaya tidak merosot ke tahap lebih kritikal, iaitu Skala 7 yang diklasifikasikan sebagai bangunan daif.
“Setakat ini, sebanyak 300 projek dilaksanakan di bawah program USNT, 79 telah siap, 203 sedang dalam pelaksanaan, dan 18 lagi di peringkat perancangan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.
Beliau memaklumkan, dua sekolah di Parlimen Hulu Langat dikenal pasti menerima manfaat program tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang dengan peruntukan RM850,000 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua sebanyak RM300,000.
Selain itu, dua projek pembinaan semula bangunan daif yang dimulakan pada 2023 turut siap sepenuhnya dan masing-masing di SK Rinching Hilir bernilai RM4.5 juta dan SK Sungai Serai dengan kos RM5.58 juta bagi pembinaan dua bangunan prasekolah.
Tambahnya, bagi kerja penyelenggaraan dan bantuan tambahan, KPM turut menyalurkan RM1.65 juta kepada 48 sekolah di kawasan Hulu Langat, termasuk inisiatif khas bagi kantin dan musala.
Dalam pada itu, KPM memperuntukkan RM100 juta di seluruh negara bagi pembinaan bangunan tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di 116 sekolah.
“Tujuh sekolah di Hulu Langat turut terlibat dalam pelaksanaan IBS termasuk SMK Saujana Impian, SK Beranang, SK Taman Rakan, SK Bukit Raya, SMK Khir Johari, SMK Dusun Nanding dan SK Bandar Tasik,” katanya.