Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Majlis Media Malaysia memandang serius insiden seorang wartawan didakwa menceroboh semasa menjalankan tugas liputan.
Menerusi satu kenyataan media pada Selasa, MMM menegaskan bahawa dalam banyak keadaan, kerja kewartawanan termasuk berada di lokasi kejadian, membuat pemerhatian, dan mendapatkan maklumat merupakan sebahagian daripada fungsi sah media dalam melaporkan isu kepentingan awam.
“Oleh itu, tafsiran menceroboh dalam konteks kerja liputan perlu diperjelaskan secara teliti agar tidak mengkriminalisasikan tugas wartawan,” ujarnya.
Justeru katanya, sebarang tindakan terhadap wartawan mesti dinilai secara ketat berdasarkan prinsip keperluan dan kesepadanan.
MMM turut menegaskan, betapa penting untuk membezakan dengan jelas antara pelanggaran undang-undang yang sebenar dan aktiviti kewartawanan yang sah.
MMM menekankan bahawa proses siasatan perlu dijalankan secara telus, profesional, dan menghormati hak wartawan untuk menjalankan tugas tanpa gangguan atau tekanan yang tidak wajar.
“Kes ini menimbulkan persoalan lebih luas mengenai ruang akses wartawan ke lokasi dan peristiwa berkepentingan awam, serta keperluan garis panduan yang jelas antara pihak berkuasa dan pengamal media,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wartawan portal berita Tamil, Thinathanti, Kalidas Subramaniom ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berhubung dakwaan menceroboh ketika membuat liputan berkaitan pendatang tanpa izin.
Polis mengesahkan menahan 10 lelaki termasuk seorang wartawan portal bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menceroboh masuk ke tapak pembinaan kilang itu pada Rabu lepas.
Baca juga:








