PETALING JAYA: Malaysia terus melakar sejarah dalam usaha memartabatkan warisan Islam apabila Projek 1 Juta Al-Quran yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mencapai sasaran.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi lambang kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh institusi keimanan, malah mengangkat Malaysia sebagai pusat pengembangan ilmu dan seni Islam di pentas antarabangsa.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau pada Khamis, Anwar memaklumkan bahawa kejayaan projek tersebut disempurnakan dalam suasana penuh keberkatan, apabila beliau berpeluang menghadiri kuliah Subuh yang disampaikan oleh ulama tersohor dunia, Al-‘Allamah Habib Umar bin Hafidz, Pengasas dan Pengetua Dar Al-Mustafa, Tarim, Yaman.
“Alhamdulillah, pagi ini saya berpeluang menghadiri kuliah Subuh yang disampaikan oleh Al-‘Allamah Habib Umar bin Hafidz, Pengasas dan Pengetua Dar Al-Mustafa, Tarim, Yaman serta seterusnya menyantuni beliau bersama delegasi di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya.
Kuliah tersebut menyentuh tentang kedudukan iman yang sebenar serta bagaimana keyakinan, rasa cinta dan mahabbah kepada Allah S.W.T menjadi teras kekuatan rohani seorang mukmin.
“Saya menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas doa yang dipanjatkan oleh Habib Umar, moga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, kekuatan dan keberkatan kepada seluruh umat Islam, serta kepada watan yang tercinta,” katanya.
Dalam majlis bersejarah itu, Anwar turut menyerahkan naskhah Mushaf Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basri kepada Habib Umar sebagai simbol kejayaan projek tersebut dan tanda penghormatan terhadap usaha dakwah serta ukhuwah Islamiah.
“Usai kuliah, saya berkesempatan menyerahkan naskah Mushaf (al-Quran) Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basri kepada Habib Umar, sebagai tanda sempurnanya salah satu projek 1 Juta al-Quran yang telah digerakkan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata, penyerahan Mushaf Tarim itu bukan sekadar simbol kejayaan penerbitan tetapi juga manifestasi peranan aktif Malaysia dalam penyebaran ilmu Islam secara global.
“Saya berasa bangga kerana Malaysia dapat menunjukkan keupayaan dalam bidang penerbitan dan penyebaran ilmu Islam.
“Projek 1 Juta Al-Quran ini adalah bukti kesungguhan kita dalam memperkukuhkan institusi keimanan di kalangan umat,” ujarnya.
Untuk info, Projek 1 Juta Al-Quran merupakan inisiatif kerajaan untuk menerbitkan dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia termasuk dalam pelbagai riwayat bacaan, sebagai usaha memperkukuh kefahaman Islam dan memperluas jangkauan dakwah Malaysia.








