KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 esok (Jumaat), menegaskan komitmen kerajaan dalam menyuburkan budaya ilmu dan pembacaan sebagai asas pembentukan masyarakat yang matang dan berdaya fikir.
Dalam perkongsian di Facebook sempena cuti Aidiladha, Anwar berkongsi pengalaman membaca beberapa buku kegemaran daripada pelbagai bidang termasuk sastera.
Beliau berkata, pembacaan bukan sekadar hobi tetapi satu proses mendidik jiwa dan akal.
“Buku mengajar kita untuk lebih sabar berfikir, lebih matang menilai dan tidak mudah tenggelam dalam budaya menghukum atau sensasi yang singkat usianya,” katanya.
Tambah Anwar, usaha memperkasa budaya membaca amat penting dalam melahirkan masyarakat yang tidak mudah terpengaruh dengan arus sensasi semasa.
Penganjuran PBAKL 2026, jelasnya, adalah simbol komitmen berterusan kerajaan untuk menyemai budaya ilmu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Untuk info, PBAKL yang menjadi acara tahunan terbesar dunia buku di Malaysia dijangka menarik ribuan pengunjung termasuk penerbit, penulis, dan pencinta buku dari dalam dan luar negara.








