Agong Berkenan Terima Menghadap PM

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook baginda yang turut menyatakan pertemuan tersebut berlangsung bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hadir sama, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Difahamkan, pertemuan antara Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri berlangsung dalam suasana rasmi bagi membincangkan urusan semasa pentadbiran negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan buku bertajuk ‘Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim King of Malaysia’ di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi mempersembahkan buku terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.

Turut hadir Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj.

Anda Mungkin Berminat