PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan bagi rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
Dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai perkembangan serantau serta usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.
Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada rakan sejawatnya serta rakyat Pakistan.
“Semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan serta kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.








