Harga Petrol Dan Diesel Turun, Kerajaan MADANI Kekal Subsidi Rakyat

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel di seluruh negara diturunkan bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun 2026, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga pasaran antarabangsa minggu sebelumnya.

Harga bagi RON97 mengalami penurunan sebanyak 20 sen seliter menjadikannya pada harga RM4.65 seliter.

Manakala bagi RON95 telah turun sebanyak 15 sen menjadikannya sebanyak RM3.92 berbanding RM4.07 seliter sebelumnya.

Diesel di Semenanjung pula turun 10 sen kepada RM4.87.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa penurunan itu berlaku berikutan penyusutan harga pasaran global, namun menegaskan keadaan pasaran petroleum dunia masih tidak menentu akibat konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih 12 minggu.

“Harga minyak mentah Brent mutakhir ini kekal melepasi AS$100 setong, iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$60 hingga AS$70 setong,” menurut kenyataan itu.

MOF berkata, peningkatan kos penghantaran dan premium insurans akibat risiko laluan perdagangan di zon konflik turut menekan pasaran global.

“Sejak konflik tercetus pada 28 Februari lalu, risiko gangguan bekalan minyak dunia terus meningkat kerana Selat Hormuz menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia.

“Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu memanjangkan bekalan negara,” tambah kenyataan itu.

Di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kerajaan mengekalkan harga RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima layak.

Lebih 90 peratus daripada jumlah penggunaan RON95 di Malaysia adalah oleh pengguna yang menerima subsidi.

“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95,” jelas kenyataan itu.

Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima hanya membayar RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.

Kementerian menegaskan pendekatan berhemah akan terus diambil bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga minyak dunia, sambil memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Anda Mungkin Berminat